
Sesi Bergambar Bersama Majlis Daerah Lahad Datu , Pertubuhan Penjaga Alam Sekitar Sabah (PPASS) dan Penduduk Kampung.
Pada 24 Mei 2025 bersamaan dengan hari Sabtu, Program Gotong-Royong Perdana telah berjaya dilaksanakan di Kampung Sabah Baru Fasa 2 dan Kampung Desa Bajau, Lahad Datu. Program ini telah dijalankan dengan kerjasama erat daripada Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) dan Pertubuhan Penjaga Alam Sekitar Sabah (PPASS) yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kebersihan kawasan sekitar kampung serta memupuk kesedaran dan tanggungjawab yang lebih tinggi dalam kalangan komuniti terhadap kelestarian alam sekitar. Lebih daripada 300 sukarelawan telah mengambil bahagian dalam program ini, termasuk penduduk dari kedua-dua kampung, kumpulan belia, wakil majlis tempatan, dan kakitangan daripada organisasi yang terlibat. Aktiviti yang dijalankan merangkumi kerja-kerja pembersihan longkang tersumbat dan pengumpulan sisa pepejal. Sebanyak 25.88 tan sampah telah berjaya dikutip.




