Admin Amwildeslen
27/01/2024
Laporan Khas Radio Televisyen Malaysia: Bahagian Pertama
Pada 16 Januari, syarikat Amwil Deslen telah dijemput oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebuah stesen penyiar awam di Malaysia, untuk membuat liputan berita mengenai “Isu Sampah” di Lahad Datu, Sabah.
Seperti operasi pembersihan pantai di Semporna, baru-baru ini Amwil Deslen telah memulakan perkhidmatan pembersihan sisa pepejal di laut dan perairan Lahad Datu. Matlamat projek ini bertujuan untuk menangani isu sampah yang berlarutan di Lahad Datu bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penduduk setempat.
RTM: Sampah merupakan masalah global yang semakin membelenggu manusia, hidupan laut dan alam sekitar. Sampah mencemarkan pemandangan dan juga alam sekitar. Justeru itu, isu sampah yang tular di media sosial baru-baru ini telah membuatkan RTM datang ke Daerah Lahad Datu untuk melihat lebih dekat situasi seperti yang digambarkan.
Menurut Firuz Idzualdeen Mohd Dzul, Pegawai Daerah Lahad Datu, purata berat sampah yang dipungut dari persisiran dan perairan Lahad Datu pada setiap hari adalah dalam lingkungan 5 tan. Sampah tersebut terdiri daripada sisa plastik, besi, kayu, sisa pakaian, dan bahan buangan yang lain. Pihak PBT, konsesi dan NGO-NGO alam sekitar akan sentiasa berkongsi maklumat tentang kaedah terbaik untuk menangani isu ini secara kolektif. Perkongsian ini akan membawa kepada penyelesaian yang inovatif dan tanggungjawab bersama.
Antara langkah terbaik yang diambil PBT adalah mencari tapak pelupusan sisa pepejal yang baharu dan melantik syarikat konsesi khusus untuk membersihkan kawasan persisiran pantai. Ini termasuk mengadakan program secara berterusan sehingga ke peringkat akar umbi. Usaha itu secara tidak langsung dapat mengubah landskap bandar Lahad Datu menjadi sebuah bandar hijau. Bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat, kaunter penjualan sampah dibuka oleh syarikat pengurusan sisa pepejal dan juga mengadakan program gotong-royong di kawasan perkampungan atas air.
Untuk maklumat lanjut berita tersebut, anda boleh merujuk kepada video.
Laporan Khas Radio Televisyen Malaysia: Bahagian Kedua
Amwil Deslen Management and Supplies PLT merupakan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pemungutan sampah di sekitar perairan di Sabah.