Pada 21 September 2024, Program Gotong-Royong Kampung Air di Semporna telah dilaksanakan dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, khususnya di kawasan pesisir air, serta memupuk semangat tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan persekitaran. Program ini juga turut dijalankan dengan kerjasama penuh daripada pertubuhan penjaga alam sekitar sabah yang turut menyumbang tenaga dalam melakukan aktiviti pembersihan.

Program ini merangkumi pelbagai aktiviti pembersihan, termasuk pengumpulan sisa plastik, botol, jaring terbuang, dan sampah terapung yang berpotensi mencemarkan laut serta mengancam kelestarian hidupan marin. Lebih daripada 100 penduduk tempatan terutamanya golongan muda telah menyertai program ini, sekali gus menunjukkan komitmen padu masyarakat terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar. Hasilnya, lebih 20 tan sisa berjaya dikutip pada hari tersebut.

Selain aktiviti pembersihan, sesi penerangan dan pendidikan awam turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kesan negatif pencemaran terhadap kesihatan manusia, ekonomi nelayan, dan kelestarian sumber laut. Penduduk turut diberikan panduan mengenai kaedah pengurusan sisa yang lebih sistematik dan mesra alam. Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan pencemaran plastik, memelihara ekosistem marin, dan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat, serta lestari demi kesejahteraan generasi akan datang.